KUCHING, 10 Nov: Kerajaan Sarawak terus komited mendirikan lebih banyak rumah mampu milik untuk manfaat golongan B40.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perancangan ketika ini adalah untuk mewujudkan kawasan rumah mampu milik bagi golongan B40 di Bandar raya Kuching.
“Kita akan menggunakan dana yang ada untuk membina satu lagi kawasan perumahan mampu milik kepada golongan B40 di bandar ini.
“Kita tidak mahu golongan B40 tinggal di luar Kuching dan tinggal jauh disebabkan tidak mampu untuk membeli rumah di kawasan bandar. Oleh itu, kita telah mengenal pasti kawasan tanah untuk dijadikan kawasan rumah mampu milik bagi golongan ini.
“Kita akan menjual rumah dengan harga berpatutan kepada golongan ini (B40) kerana kita mempunyai polisi yang mana semua lapisan masyarakat tidak kira status sosial hendaklah bercampur dan tinggal bersama-sama di satu kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Tahunan SHEDA dan Anugerah Kecemerlangan 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad.
Menjelas lanjut, kata Abang Johari, kerajaan akan menyediakan bantuan tertentu bagi golongan tersebut untuk memudahkan mereka memiliki kediaman sendiri selain memberikan bantuan subsidi. – TVS