KUCHING, 9 Nov: Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pengedaran Gas 2024 akan dibentangkan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawai.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, pindaan RUU itu merupakan langkah penting dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan pengedaran gas dan memperkasakan sektor tenaga negara menerusi peralihan Sarawak ke arah ekonomi tenaga hijau untuk mencapai ‘net zero carbon’ menjelang tahun 2050.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak menggariskan matlamat untuk beralih kepada sumber tenaga bersih dengan fokus utama pada hidrogen sebagai alternatif utama.
“Sebagai sebahagian daripada usaha ini, kerajaan juga telah menggalakkan pengeluaran hidrogen dan pelaburan asing dalam projek-projek penghasilan hidrogen di Sarawak.
“Langkah ini dijangka memberi manfaat besar bukan sahaja untuk industri tenaga tetapi juga untuk pertumbuhan ekonomi dan penciptaan peluang pekerjaan dalam sektor tenaga hijau, ” katanya.
Menurut Asfia, menerusi pembentangan mengenai RUU berkenaan, menteri bertanggungjawab akan menjelaskan pindaan tersebut memperkukuhkan rangka kerja pengedaran gas negara dan memperkenalkan pelbagai insentif untuk pelabur asing dalam sektor tenaga bersih khususnya dalam pembangunan projek hidrogen di negeri ini.-TVS