KUCHING, 9 Nov: Ibu bapa dan pemimpin masyarakat perlu melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan bagi menguasai teknologi baharu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia penting bagi membolehkan mereka mendepani cabaran dalam era yang memerlukan setiap individu mengusai teknologi.
Menurutnya, penguasaan teknologi mampu membantu mereka membimbing generasi muda untuk menguasai kemahiran dan pengetahuan sama.
“Kemahiran dan pengetahuan teknologi dapat membantu mendepani cabaran dalam dunia yang semakin canggih sekarang.
“Sebab itu saya rasa kita perlu mengetahui mengenai perubahan teknologi yang mana kita mendapat maklumat dengan cepat.
“Namun, teknologi baharu ini datang dengan cabaran yang mana pihak tertentu turut mengambil peluang mempengaruhi minda anak-anak kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Deepavali Bersama Komuniti India di Dewan IAK pada Sabtu.
Fadillah berkata, pendedahan terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matemarik (STEM) juga merupakan satu langkah dalam menyediakan generasi muda untuk berdepan dengan cabaran teknologi baharu yang serba canggih.
Katanya, kemunculan teknologi baharu seperti kecerdasan Buatan (AI), Internet kebendaan (IOT) serta dasar ekonomi baharu membabitkan ekonomi hijau membuka cabaran lebih kompleks yang memerlukan kaeadah penyelesaian berbeza.
Keadaan itu katanya memerlukan generasi muda masa kini menguasai STEM agar mereka dapat bersaing dan memperoleh peluang lebih baik untuk berjaya di masa hadapan. -TVS