KUCHING, 9 Nov: Pandangan konstruktif yang diberikan rakyat penting bagi menyampaikan perkhidmatan yang menepati keperluan masyarakat masa kini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, setiap masyarakat yang hadir ke majlis inisiatif kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam memberikan pandangan melalui maklum balas bagi meningkatkan prestasi perkhidmatan kerajaan atau agensi.
Menurutnya, perkara tersebut akan menentukan kerajaan menjalankan perkhidmatan atau polisi yang menepati keperluan masyarakat demi kebaikan bersama.
“Saya harap semua yang hadir pada hari ini mengambil kesempatan untuk juga menyampaikan pandangan konstruktif mereka tentang apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan kerana tanpa maklum balas daripada masyarakat saya rasa polisi kerajaan dan inisiatif kerajaan tidak akan menepati sasaran,” katanya.
Beliau berucap ketika mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa Karnival Kita Madani Peringkat Sarawak di sini, hari ini.
Menurutnya, Karnival Kita Madani menjadi satu platform dalam merapatkan jurang komunikasi antara kerajaan dan rakyat serta berperanan memberikan maklumat yang diperlukan orang ramai mengenai usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan pusat atau negeri.
“Kita perlukan maklumat ini supaya semua agensi dapat berfungsi dengan lebih efisien dan memahami kehendak rakyat dan sebagainya begitu juga warga belia mereka juga ingin tahu apakah kemudahan untuk mereka dan sebagainya jadi kita secara amnya. Kita cuma merapatkan jurang Informasi antara masyarakat dan kerajaan.
Menurutnya, maklum balas daripada masyarakat amat diperlukan untuk memahami tahap kefahaman atau kemusykilan mereka tentang bagaimana kerajaan berfungsi atau penyampaian perkhidmatan oleh pelbagai agensi kerajaan.
“Aliran maklumat dua hala antara masyarakat dan kerajaan penting untuk memastikan setiap polisi dan inisiatif berfungsi dengan efisien, memenuhi objektif perkhidmatan dan paling penting masyarakat benar-benar menikmati sepenuhnya kemudahan kebajikan yang disalur kerajaan,” katanya.