KANOWIT, 9 Nov: Dua beranak cedera apabila lori yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Jalan Kanowit-Julau, malam tadi.
Insiden kira-kira jam 9.25 malam itu, mengakibatkan kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 50 dan 14 tahun mengalami kecederaan pada anggota badan.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (KUP) Ajeng Anyie dari Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 9.30 malam sebelum mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi untuk menghulurkan bantuan.
“Setibanya di lokasi, kami mendapati kenderaan terbabit berada di dalam gaung pada ketinggian lima meter dari jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, terdapat dua orang mangsa iaitu seorang lelaki dewasa (bapa) dan seorang remaja lelaki (anak) masing-masing mengalami kecederaan pada anggota badan.
Bagaimanapun katanya, kedua-dua mereka dikeluarkan dari dalam kenderaan itu dengan bantuan orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans Klinik Kesihatan Julau untuk rawatan susulan.
“Kita tidak melakukan kerja-kerja penyelamatan dan hanya membuat pemantauan di sekitar kawasan kemalangan,” katanya. -TVS