VIENTIANE, 9 Nov: Bertenun kain merupakan salah satu perusahaan tradisi yang diwarisi secara turun-temurun dan masih kekal diusahakan oleh masyarakat Melayu Brunei Darussalam.
Bukan itu sahaja, malah ia juga merupakan tekstil yang bernilai tinggi di negara tersebut.
Menurut Pegawai Pameran Jabatan Muzium Brunei Darussalam, Hanani Mohaimin tenunan asli ini mempunyai motif yang timbul serta ragam hias yang menarik.
“Kain tenunan Brunei memang seratus peratus buatan tangan sendiri. Proses pembuatan tenun ini memang mengambil masa dan juga memerlukan kesabaran.
“Proses pembuatan kain tenunan ini sama juga dengan negara-negara yang lain seperti Malaysia, Indonesia dan kita juga mempunyai rumah tenunan sendiri,” katanya kepada TVS pada Simposium Tradisional Tekstil ASEAN Ke-9 di sini, baru-baru ini.
Ujar Hanani lagi, antara jenis tenunan Brunei yang mempunyai kepelbagaian motif dan ragam hias termasuklah Kain Silubang Bangsi, Kain Sipugut, Kain Jongsarat, Kain Beragi, Kain Sukma Indera, Kain Lipatan Madu, Kain Arap, Kain Berturus dan Kain Jajang.
“Nama-nama itu memang unik sebab itu keaslian dari Brunei. Jadi setiap motif yang terdapat pada kain tenunan ini mempunyai penceritaan, bunga corak dan sebagainya.
“Seperti Kain Jongsarat, ia merupakan antara kain yang mempunyai nilai yang sangat tinggi dan hanya digunakan di acara-acara tertentu, seperti upacara rasmi kerajaan, upacara kebudayaan, konvokesyen dan turut digunakan semasa acara perkahwinan di Brunei iaitu pada waktu majlis mandi belawa da mandi berbedak,” jelasnya lagi.
Mengenai proses pembuatan corak, Hanani berkata, ia bukanlah satu perkara yang mudah.
Menurutnya, sebelum menenun, setiap corak perlu dirancang dengan teliti menggunakan kertas graf sebagai panduan utama.
Kertas graf tersebut berfungsi sebagai pelan awal yang membantu menentukan susunan dan bentuk corak yang ingin dihasilkan pada kain.
Pendekatan ini bukan sahaja memastikan kesempurnaan dalam setiap motif, tetapi juga memudahkan proses menenun, menjadikan setiap helai kain terhasil dengan corak yang tersusun rapi dan terperinci.
Justeru katanya, tenunan Brunei bukan hanya terkenal dalam kalangan pengguna tempatan tetapi, turut digemari pelancong atau pelanggan dari luar negara. – TVS