KUCHING, 9 Nov: Kerajaan Sarawak akan menguatkuasakan kawalan penuh dalam pengurusan sisa dan pencemaran alam sekitar melalui Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) yang akan mengambil alih kuasa daripada Jabatan Alam Sekitar Persekutuan menerusi RUU Sumber Asli dan Alam Sekitar, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Menurutnya, RUU Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024 akan memberi kuasa kepada NREB Sarawak untuk mengawal pengurusan sisa dan pencemaran alam sekitar di bawah bidang kuasa negeri mulai 1 Januari 2025.
Jelasnya, tindakan tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif menyeluruh untuk memulihara alam sekitar termasuk memperketatkan pengurusan sisa logam, sisa elektronik serta pencemaran air dan tanah di negeri itu.
“Langkah ini bertujuan meningkatkan kecekapan dalam menangani isu pencemaran yang kritikal bagi negeri ini.
“Dengan NREB mengendalikan sepenuhnya pengurusan ini, kita akan mempunyai pendekatan yang lebih konsisten dan responsif terhadap cabaran pencemaran yang unik di Sarawak.” katanya.
Katanya, NREB turut diamanahkan dengan tanggungjawab untuk memantau dan mengawal pencemaran sumber air secara lebih efektif khususnya sungai utama di Sarawak yang menjadi sumber air bagi komuniti setempat.
“Ini termasuk penguatkuasaan yang lebih tegas ke atas kilang-kilang dan perniagaan yang menghasilkan bahan buangan industri yang berbahaya.
“Usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen Sarawak dalam memastikan kelangsungan ekosistem dan menjaga kesejahteraan komuniti, ” ujarnya.
Terdahulu, menerusi Mesyuarat Kedua bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) yang Ke-19 empat Rang Undang-Undang akan dibentangkan dalam sidang DUN Sarawak melibatkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025, RUU Perbekalan Tambahan 2024 dan Pindaan Rang Undang-Undang Pengedaran Gas 2024 serta Rang Undang-Undang Sumber Asli dan Alam Sekitar 2024. -TVS