KUCHING, 9 Nov: Penganjuran Festival OHMYDIN! Fun Run berpotensi dijadikan sebagai medium masyarakat berkumpul bagi membudayakan gaya hidup sihat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penganjuran program tersebut merupakan salah satu usaha yang baik bagi merapatkan warga pasar raya Mydin Mohamed Holdings Berhad bersama rakyat yang banyak menyokong perniagaan pasar raya berkenaan.
Katanya, program itu juga memberi manfaat kepada rakyat Sarawak dalam menyemai perpaduan yang ada di Bumi Kenyalang.
“Saya menyeru syarikat swasta yang lain untuk mengikut langkah yang dilakukan Mydin untuk mendekati rakyat melalui program kemasyarakatan seperti program pada hari ini,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat semasa Festival OHMYDIN! Fun Run di Mydin Petra Jaya di sini, hari ini.

Penganjuran Festival OHMYDIN! Fun Run itu merupakan lokasi yang keempat dan terakhir bagi tahun 2024 bersempena Ulang Tahun Mydin yang ke-67 yang disambut pada Ogos lepas.
Antara lokasi yang telah dijalankan festival tersebut adalah di Subang Jaya (Selangor), MITC (Melaka), Tunjong (Kelantan), dan yang terakhir di Kuching (Sarawak). – TVS