Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam (tengah) dan isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman (tengah) bergambar bersama pasukan Melaka FC selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kejohanan Liga Bola Sepak Governor Cup Melaka 2024 dan Liga Bola Jaring Piala Toh Puan 2024 di Ayer Keroh malam tadi. Foto Bernama

Dua pemain import baharu perkuat Melaka FC hadapi saingan Piala Malaysia

ByBernama

MELAKA, 9 Nov: Melaka FC bakal menambah dua lagi pemain import baharu bagi memperkuat pasukan itu selepas layak beraksi pada saingan Piala Malaysia 2024/25.

Pemilik pasukan Datuk Nur Azmi Ahmad berkata dua pemain itu masing-masing dari Ghana dan Algeria dijangka tiba Isnin ini untuk mula berlatih bersama pasukan kendalian K Devan.

“Kita telah memohon untuk tambahan pemain import ini bagi memantapkan lagi bahagian pertahanan dan serangan selain menggunakan dua pemain import sedia ada dalam pasukan.

“Namun, kita masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) iaitu menggunakan khidmat 10 pemain berasal dari Melaka selain dibantu beberapa pemain luar dari negeri lain,” katanya kepada pemberita di Ayer Keroh di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kejohanan Liga Bola Sepak Governor Cup Melaka 2024 dan Liga Bola Jaring Piala Toh Puan 2024 yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman.

Mengulas lanjut Nur Azmi berkata walaupun pasukan Melaka FC beraksi di Liga A1 Semi Pro namun beliau menyasarkan skuad Hang Tuah itu mampu melangkah lebih jauh dalam saingan piala berprestij itu.

“Alhamdulillah kita bersyukur kerana telah layak buat kali pertama, keadaan pasukan dalam prestasi terbaik dan para pemain juga telah menunjukkan komitmen yang tinggi.

“Bagaimanapun, kita akan lihat nanti siapakah pasukan lain berada dalam kumpulan sama Melaka FC yang ditentukan dalam undian minggu depan … sama ada pasukan itu ialah Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor atau lain-lain kita akan tetap hadapinya daripada satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya.

Undian Piala Malaysia bakal berlangsung pada 11 Nov dengan perlawanan pertama pusingan 16 dijangka bermula pada 20 Nov.

Dalam pada itu, Nur Azmi yang juga pengerusi pertandingan berkata sebanyak 12 pasukan bakal bertanding dalam liga bola sepak bermula hari ini manakala 12 pasukan bertanding di liga bola jaring yang akan berlangsung Disember depan.

Beliau berkata kedua-dua perlawanan akhir akan dilangsungkan pada awal Januari tahun depan dengan juara Governor Cup Melaka 2024 bakal membawa pulang hadiah sebanyak RM12,000 manakala johan Piala Toh Puan 2024 bakal memenangi RM3,500. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan