KUCHING, 8 Nov: Sarawak akan mengadaptasi sistem ombudsman yang diamalkan di Sweden sebagai langkah pengukuhan integriti pentadbiran di wilayah ini.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Asfia Awang Nassar berkata, ia tersebut membuktikan usaha untuk meningkatkan ketelusan dalam pentadbiran tidak terhenti.
Menurutnya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kini berusaha untuk menerapkan sistem ombudsman dari negara luar dengan matlamat utama menghalang laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) atau ombudsman disalahguna oleh pihak eksekutif.
“Langkah ini bertujuan menoktahkan ketidakadilan dalam kalangan individu yang berkuasa supaya tiada pihak menyalahguna laporan.
“Isu utama adalah memastikan laporan tersebut tidak dijadikan senjata politik terhadap bekas menteri atau ahli politik oleh pihak eksekutif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Bengkel Rasuah dan Tanggungjawab Undang-Undangan di sini, hari ini.
Asfia menjelaskan, penerapan sistem tersebut dijangka memberi impak positif dalam memupuk ketelusan dan integriti dalam pentadbiran Kerajaan Sarawak.-TVS