KOTA KINABALU, 8 Nov: Kerajaan Negeri Sabah mengalu-alukan keputusan Mahkamah Agung Perancis yang menolak sepenuhnya cabaran undang-undang difailkan oleh individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang telah lama tidak wujud berhubung tuntutan terhadap Sabah.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyambut baik perkembangan ini, yang dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, melalui akaun media sosialnya.
“Kami menegaskan bahawa Sabah adalah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia dan tidak mengiktiraf sebarang tuntutan ke atas Sabah,” katanya di dalam suatu kenyataan hari ini.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kepada Azalina atas usaha gigih mereka dalam mencabar dan membatalkan Award Akhir yang dikeluarkan oleh penimbang tara Sepanyol.
Kelmarin, Azalina di dalam kenyataan menyifatkan keputusan ini sebagai satu kemenangan besar dan bersejarah bagi Malaysia, menandakan kegagalan usaha mereka yang cuba memeras ugut negara.
Menurut Azalina, Malaysia kini akan memfokuskan usahanya di Perancis untuk membatalkan Award Akhir yang diberikan kepada kumpulan tersebut secepat mungkin.
Pada Khamis lalu, Mahkamah Agung Perancis telah menolak cabaran undang-undang yang difailkan oleh kumpulan tersebut. Azalina menekankan bahawa keputusan ini membuktikan bahawa tuntutan pampasan AS$15 bilion itu tidak sah di bawah undang-undang Perancis.
Ini susulan lapan individu dari Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu telah memulakan prosiding timbang tara di Sepanyol untuk menuntut berbilion dolar AS daripada Malaysia berhubung isu membabitkan Sabah dan sebuah mahkamah di Madrid pada Mac 2019. – TVS