MIRI, 8 Nov: Bagi meningkatkan persiapan menghadapi kecemasan dan bencana di kawasan terpencil, seramai 80 peserta dari pelbagai agensi di Daerah Niah menyertai Latihan Amal Bencana Kecemasan Luar Bandar (REDEX) di Gua Niah.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ahmad Izram Osman berkata, latihan amal tersebut merupakan inisiatif penting dalam menyokong misi jabatan dalam menguruskan bencana tanpa mengira lokasi.
Menurutnya, kawasan tumpuan termasuk yang kurang mendapat perhatian seperti pedalaman yang sering berdepan kekangan dari segi logistik dan sumber.
“Latihan amal ini selari dengan hasrat jabatan untuk sentiasa meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan dalam pengurusan bencana di semua lokasi sama ada di bandar, luar bandar atau kawasan terpencil seperti Niah,” katanya pada Majlis Penutupan REDEX Niah di sini, hari ini.
Ahmad berkata, latihan tersebut bukan sahaja meningkatkan kecekapan individu tetapi menyelaraskan kerjasama antara agensi dalam menangani sebarang kecemasa.
“Pelaksanaan latihan ini secara berterusan mencerminkan iltizam Jabatan untuk memperhebat kompetensi dan memperkukuh koordinasi antara pegawai dalam menghadapi sebarang insiden serta musibah yang kian kompleks dan menuntut kecekapan tinggi,” ujarnya.
Sementara itu menurutnya, sepanjang tahun ini JBPM Sarawak membuktikan keupayaannya dalam menangani bencana dengan pelaksanaan beberapa operasi berisiko tinggi.
“Ia termasuk pada 10 Jun lalu yang JBPM Sarawak menggunakan helikopter untuk menghantar makanan seberat 3,460 kilogram kepada penduduk Long Sait dan Long Kerong yang terjejas banjir.
“Pada 20 Jun, kita menjalankan operasi mencari seorang anggota tentera yang hilang di sempadan Brunei – Malaysia berhampiran Kampung Mendamit Limbang,” jelasnya.
Beliau berharap latihan tersebut dapat meningkatkan kualiti pengurusan bencana peringkat negeri dan negara.-TVS