GEORGE TOWN, 8 Nov: Sebanyak lapan premis termasuk dua restoran nasi kandar di sekitar bandar raya ini diarahkan ditutup selama 14 hari oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selepas menemui najis tikus dan lipas semasa operasi dijalankan
Pengerusi Gantian Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam MBPP, Tan Soo Siang berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas sembilan premis namun lapan daripadanya didapati gagal menepati piawai kebersihan ditetapkan.
Menurutnya, pemeriksaan itu dilakukan sebagai usaha memberi penekanan mengenai kepentingan mengamalkan kebersihan dalam penyediaan makanan.
“Pemeriksaan yang dibuat secara menyeluruh di bahagian dapur, tempat penyimpanan makanan dan stor menemui najis tikus di beberapa tempat.
“Selain itu, terdapat najis lipas di beberapa premis yang kita periksa,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, Soo Siang berkata, MBPP mengarahkan penutupan 52 premis makanan di sekitar bandar raya ini setakat semalam.
Katanya, arahan itu dibuat hasil pemeriksaan rutin dan secara rawak oleh pegawai MBPP dalam usaha memastikan premis makanan termasuk restoran mematuhi piawai kebersihan bagi menjamin kesihatan pelanggan. – TVS