MIRI, 8 Nov: Dua suspek diberkas bersama dadah bernilai RM1,991,700 menerusi satu operasi sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Lapangan Terbang Miri pada 6 November lepas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata berkata salah seorang suspek, lelaki tempatan berumur 36 dan 42 tahun, mempunyai rekod jenayah lampau.
Dadah yang dirampas, pil eramin 5 seberat 10.8 kilogram, pil ekstasi 4.1 kilogram dan syabu tujuh kilogram.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan 102,817 orang penagih,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mancha berkata, bekalan dadah diperolehi dari Semenanjung Malaysia sebelum dibawa masuk ke Miri melalui lapangan terbang.
Menurutnya, dadah yang dirampas adalah untuk pasaran tempatan.
“Suspek menerima upah RM5,000,” katanya sambil menambah ujian air kencing terhadap dua suspek didapati positif dadah.
Perintah reman terhadap dua suspek diperolehi enam hari bermula 7 November hingga 13 November.
Siasatan dijalan di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan sebatan yang tidak kurang 12 sebatan.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, PDRM untuk memerangi habis-habisan dadah musuh nombor satu negara dan berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui hotline JSJN di talian 012-2087222,” katanya.