PUTRAJAYA, 8 Nov: Malaysia mengutuk keras serangan rejim zionis di Selatan Lubnan semalam yang mencederakan beberapa anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 akibat terkena serpihan letupan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Malaysia akan melihat keperluan untuk mengambil tindakan terhadap serangan tidak bertanggungjawab Israel itu.
“Kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam rejim Israel dengan ia disifatkan tidak boleh diterima.
“MINDEF ada menyebut mengenai sebarang perancangan (tindakan) yang perlu diambil perlu merujuk mereka,” katanya dalam sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.
Lewat malam semalam, anggota MALBATT 850-12 yang baru tiba ke negara itu dua hari lepas mengalami cedera ringan selepas terkena serpihan letupan yang menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut. – TVS