KUCHING, 8 Nov: Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak dijangka mengemukakan laporan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun hadapan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya berkata, selepas Ordinan Ombudsman Sarawak diluluskan April tahun ini, ketua ombudsman yang baru dilantik Jun lepas masih dalam fasa penguatkuasaan dan pentadbiran.
“Setakat ini, kita berada dalam tahun pertama dan masih mengatur urusan pentadbiran, kakitangan dan pengoperasian. Insya-Allah bermula tahun depan kita dapat buat pelaporan aktiviti dan kes yang dikendalikan Unit Integriti dan Ombudsman kepada Dewan Undangan Negeri.
“Pada persidangan kali ini, kita belum ada sebarang laporan yang dikemukakan memandangkan penguatkuasaan undang-undang baru dilaksanakan,” katanya kepada media hari ini.
Menurutnya, laporan terbaru Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman akan disediakan mengikut piawaian antarabangsa seperti diamalkan di Sweden dalam usaha meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.
Tambahnya, proses pelaporan tersebut tidak jauh beza dengan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) namun kini ia disusun untuk memenuhi standard antarabangsa.
“Kerajaan Sarawak memilih model ombudsman Sweden untuk mengukuhkan integriti dalam pelaporan yang membolehkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meneliti, membahaskan dan mendapatkan penjelasan berhubung isu dilaporkan.
“Draf kita ikut standard dibuat negara luar seperti Sweden yang mana akan dibentangkan di DUN dan dibahaskan oleh mana-mana ADUN yang ingin mendapatkan penjelasan berkaitan pelaporan isu yang dibangkitkan,” ujarnya.-TVS