Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Amar Douglas Uggah Embas dibantu Datuk Len Talif Salleh menuang simen sebagai simbolik Majlis Perletakan Bongkah Terakhir Jambatan Batang Rajang dekat Sarikei, hari ini. Foto TVS

Jambatan Batang Rajang singkatkan jarak perjalanan Sarikei ke Tanjung Manis

SARIKEI, 8 Nov: Jambatan Batang Rajang, Jalan Sungai Pasi yang bakal menjadi jalan penghubung utama Sarikei ke Tanjung Manis, dijangka siap sepenuhnya Mac tahun depan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ketika ini pelaksanaan projek yang bernilai RM321 juta itu berjalan dengan baik.

Pada masa yang sama, beliau optimis Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melakukan yang terbaik demi memastikan projek itu siap mengikut perancangan dan spesifikasi yang ditetapkan.

“Saya amat gembira dengan perkembangan terbaharu ini. Kemudahan yang disediakan ini adalah salah satu lagi bukti komitmen tinggi Kerajaan Sarawak.

“Ini merupakan jambatan ketiga menyeberangi Batang Rajang selain Jambatan Lanang dan Durin. Sudah pasti apabila siap kelak, ia bakal memberi impak besar terhadap pembangunan setempat,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perletakan Bongkah Terakhir Jambatan Batang Rajang di sini, hari ini.

Menurut Uggah, Jambatan Batang Rajang, Jalan Pasi Tanjung Manis merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh rangkaian jalan raya pesisir, memudahkan perhubungan antara bandar dan luar bandar.

Projek berimpak tinggi itu katanya, bakal memberi manfaat yang signifikan kepada komuniti setempat.

Ujarnya, Jambatan Batang Rajang sepanjang 1.4 kilometer dan lebar 12.4 meter ini memainkan peranan penting sebagai penghubung jalan raya sepanjang 17 kilometer dari Pasi Ke Tanjung Manis.

“Dengan siapnya jambatan ini tempoh perjalanan dari Sarikei ke Tanjung Manis akan dipendekkan daripada dua jam setengah kepada hanya 40 minit.

“Projek ini juga dijangka memberi impak besar kepada sosio ekonomi dengan merangsang perkembangan sektor pertanian, komersial dan lain lain lagi,” katanya.

Beliau menambah, projek melambangkan usaha berterusan kerajaan dalam menyediakan kemudahan terbaik yang diperlukan rakyat khsusus di kawasan luar bandar. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan