PUTRAJAYA, 8 Nov: Kerajaan menerusi Jemaah Menteri komited dalam meneliti isu tadbir urus dan tatakelola melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi memastikan ia dapat ditambah baik.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, langkah kerajaan sebelum ini dengan meminda Akta Audit yang membolehkan Ketua Audit Negara melakukan audit terhadap mana-mana entiti yang menerima dana awam diyakini dapat menambah baik aspek pengurusan dan juga tatakelola bagi GLC dan GLIC.
“Tiada perbincangan khusus mengenai perkara itu hari ini, tetapi Jemaah Menteri sudah meneliti isu urus tadbir GLC dan GLIC dengan kita memang memberi tumpuan termasuk isu ganjaran dan bonus.
“Tetapi menjadi keutamaan pada ketika ini adalah aspek tatakelola,” katanya pada sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.
Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen menggesa agar rasionalisasi badan berkanun, GLC dan GLIC dilaksanakan dengan tegas dan sistematik.
Ia termasuk penekanan terhadap tatakelola yang baik serta keperluan untuk membentangkan laporan kewangan dan pelaburan di Parlimen.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, Jemaah Menteri masih belum membincang atau membuat sebarang keputusan berhubung status Majlis Profesor Negara (MPN) susulan pendedahan laporan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) semalam.
Bagaimanapun, Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini sudah memberi teguran keras kepada organisasi itu.
“Perkara ini tidak dibincanglan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, tetapi Perdana Menteri ada memberi teguran keras terhadap cara beberapa perkara diuruskan.
“Belum ada kata muktamad dengan perkara ini tidak berbangkit dalam mesyuarat baru-baru ini,” jelasnya.
Semalam, PAC mencadangkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengkaji semula sama ada MPN masih relevan dalam membantu kerajaan dalam membangunkan negara. – TVS