GEORGE TOWN, 7 Nov: Seorang wanita dan bapanya ditemui mati selepas dipercayai ditikam dengan sebilah pisau berdekatan lif sebuah apartmen di Bandar Baru Farlim, Air Itam di sini hari ini.
Mangsa yang masing-masing berusia 30 dan 62 tahun itu dijumpai dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di atas lantai bersama suspek lelaki yang cedera parah.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 12.54 tengah hari yang memaklumkan melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sambil membawa pisau di kawasan pangsapuri itu.
Katanya, polis yang bergegas ke lokasi kemudiannya mendapati tiga jasad telah terbaring dalam keadaan berlumuran darah di hadapan lobi lif.
“Mangsa iaitu bapa dan anak perempuannya telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Seorang lagi lelaki berusia 32 tahun yang merupakan suspek didapati cedera kerana mengelar tangan dan menikam diri sendiri.
“Suspek ditahan dan dibawa he Hospital Pulau Pinang untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar Hamzah, pihaknya telah berjaya menyelesaikan kes tersebut selepas menahan suspek dan merampas senjata yang digunakan.
“Pihak polis sedang menyiasat motif suspek dari pelbagai sudut.
“Kita mohon saksi awam yang melihat kejadian itu secara jelas untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya lagi.
Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – TVS