ABU DHABI, 7 Nov: Sarawak akan merangka pelan hala tuju pembangunan gas hidrogen untuk memasuki pasaran tenaga bersih global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelan tersebut akan memberi tumpuan kepada aspek bekalan hidrogen.
Menurutnya, pengeluaran hidrogen perlu dilakukan pada harga mampu milik supaya pelanggan dapat menggunakan tenaga hijau itu secara meluas.
“Antara lain ialah permintaan, bermaksud teknologi sel bahan api mesti maju dan ini akan mewujudkan permintaan terutama dalam pengangkutan awam di mana hidrogen menjadi bahan api untuk pengangkutan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temubual khas bersama TVS dan UKAS selepas menjadi panel jemputan dalam perbincangan tumpuan pada Pameran & Persidangan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC) 2024 di Pusat Pameran Nasional Abu Dhabi (ADNEC) di sini pada Rabu.
Penglibatan Sarawak dalam industri hidrogen akan membuka peluang bagi aktiviti hiliran lain yang dapat merangsang ekonomi negeri.
Terdahulu dalam perbincangan mengenai ‘Peranan Asia Dalam Menentukan Pasaran Hidrogen’, beliau berkata kajian teknologi terkini diperlukan untuk mengurangkan kos pengeluaran hidrogen, menjadikannya bahan api alternatif yang lebih mampu milik.
Menurutnya, tenaga hijau penting dalam menghadapi perubahan iklim global namun kos pengeluaran yang tinggi dan tenaga yang banyak diperlukan untuk menghasilkan hidrogen adalah cabaran utama.
“Kita ada kelebihan terhadap tenaga diperbaharui. Kita telah menjana tenaga diperbaharui sebanyak 5 GW dan berharap pada 2030, kita boleh meningkatkannya kepada 10 GW.
“Ini bermakna kita memerlukan tenaga untuk mengeluarkan hidrogen dan harga mesti dalam julat pasaran yang membolehkan hidrogen menjadi bahan api alternatif,” ujarnya.
Dalam konteks Asia, China sedang giat menjalankan kajian untuk mengurangkan kos pengeluaran hidrogen.
Selain itu, Sarawak juga telah menjalin kerjasama strategik dengan Jepun dan Korea Selatan untuk pengeluaran hidrogen yang akan dieksport ke kedua-dua negara tersebut. -TVS