ABU DHABI, 7 Nov: Sarawak terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan pilihan dengan memberi penekanan kepada tenaga boleh diperbaharui dengan kos efektif.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, menyedari pentingnya tenaga sebagai tunjang ekonomi, Kerajaan Sarawak giat membangunkan infrastruktur tenaga mampan, tanpa gangguan dan berdaya saing dari segi kos.
Menurutnya, kos tenaga yang berpatutan di Sarawak menjadi kelebihan tambahan dan membantu perniagaan mengurangkan perbelanjaan operasi mereka disamping menyediakan peluang pekerjaan di wilayah ini.
“Langkah strategik ini dijangka membawa pelbagai manfaat kepada ekonomi negeri termasuk mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
“Sumber pendapatan baharu kepada kerajaan negeri dan pengembangan asas ekonomi lebih meluas dan kukuh.” Katanya ketika ditemui TVS di Abu Dhabi, pada Rabu.
Sehubungan itu menurutnya, pendekatan tersebut mencerminkan komitmen Sarawak untuk mewujudkan ekonomi lestari dan terus berkembang melalui pelaburan terancang dalam infrastruktur tenaga.
Tambahnya, dengan adanya asas yang kukuh, wilayah ini diyakini dapat menarik lebih banyak pelaburan berkualiti dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi jangka panjang. -TVS