KUCHING, 7 Nov: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) bercadang menubuhkan pusat pembangunan kecemerlangan bakat muda untuk memastikan kesinambungan serta kelestarian bakat baharu di Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pusat tersebut akan bertindak mencungkil bakat sejak peringkat prasekolah seterusnya digilap dan dikembangkan hingga ke tahap lebih tinggi.
Menurutnya, idea penubuhan pusat tersebut merupakan kesinambungan daripada program Sarawak Preschool Kids Got Talent (SPKGT) yang dianjurkan sejak 2018 dan mengambil inspirasi daripada pusat kecemerlangan SeDidik sedia ada.
“Kita bercadang kembangkan pusat kecemerlangan yang sedia ada di SeDidik dan memperluaskan skopnya menjadi pusat kecemerlangan bakat muda. Ini bermakna pusat ini kelak bukan hanya tertumpu kepada peringkat prasekolah sahaja tetapi terbuka kepada bakat baharu yang ada pada hari ini.
“Oleh kerana kita akan memulakan inisiatif ini pada tahun 2025, kita akan memulakannya secara kecil-kecilan dahulu dan pada masa yang sama kita mengenal pasti bakat yang hendak dikembangkan terlebih dahulu kerana skop bakat amat luas,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Sarawak Preschool Kids Got Talent (SPKGT) 2024 di Kuching hari ini.
Fatimah berkata, cadangan penubuhan pusat pembangunan kecemerlangan bakat direncanakan untuk dilaksanakan secara berperingkat bermula 2025.
Tambahnya, penubuhan pusat tersebut akan membantu memastikan bakat sedia ada dalam kalangan anak muda terus digilap dan dikembangkan setakat peringkat prasekolah sahaja.-TVS