KUALA LUMPUR, 7 Nov: Jawatankuasa Road to Gold (RTG) meluluskan inisiatif baharu iaitu Program RTG Fast Track untuk Olimpik Los Angeles 2028 dalam usaha mengasah prestasi beberapa atlet muda negara, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Menurutnya RTG bertanggungjawab terhadap dua kitaran Sukan Olimpik iaitu Paris 2024 dan Los Angeles 2028.
“Seramai enam orang atlet muda berumur bawah 25 tahun daripada sukan Skuasy dan Akuatik Terjun telah dipilih di bawah program ini.
“Jumlah ini dijangka akan bertambah dengan peningkatan prestasi beberapa atlet muda negara seperti Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (rank 17) dari sukan berbasikal-trek, trio memanah wanita negara (rank 17) iaitu Syaqiera Mashayikh, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dan Nurul Azreena Mohamad Fazil yang telah menduduki ranking 20 terbaik dunia,” katanya.
Hannah berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkaitan langkah kerajaan menambah baik prestasi sukan kebangsaan memandangkan prestasi skuad kebangsaan di dalam sukan Olimpik baru- baru ini di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau juga optimis, kejayaan S.Sivasangari menjuarai Kejohanan Skuasy London Classic 2024 di London memberi gambaran persaingan merebut pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 masih terbuka.
Selain itu, Hannah mendedahkan Majlis Sukan Negara (MSN) akan membangunkan sukan-sukan baru seperti skateboard, climbing dan surfing.
“Sukan-sukan ini dilihat mampu menjadi penyumbang pingat kepada negara nanti…Pada masa yang sama sukan-sukan yang menawarkan banyak pingat dan kategori berat badan juga akan diberikan perhatian,” ujarnya.
Terdahulu, Hannah mendedahkan MSN membelanjakan kira-kira RM20.1 juta (RTG dan Podium) pada tahun 2024 bagi tujuan kelayakan dan persiapan atlet ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Untuk RTG sahaja dedahnya sebanyak RM 13.2 juta telah dibelanjakan untuk tahun ini bagi persiapan ke sukan Olimpik Paris.