KUALA LUMPUR, 7 Nov: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bakal membangunkan rangkaian grid pembekalan elektrik negara dan ditambah baik secara berterusan supaya mampu menampung peningkatan permintaan bekalan termasuk sistem pengecas kenderaan eletrik (EV).
Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pengukuhan grid kebangsaan bagi menyokong pembekalan elektrik termasuk EV Charging Station telah pun diambil kira dalam perbelanjaan modal Tenaga Nasional Bhd menerusi mekanisme Incentive Based Regulation (IBR).
Timbalan Perdana Menteri itu menambah pihaknya bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkolaboratif menyediakan perancangan dan pembangunan pelan pembangunan stesen pengecasan EV dan program penggalakan penggunaan EV yang komprehensif.
“Kita komited dalam menyokong agenda dan inisiatif semasa kerajaan untuk merancakkan penggunaan kenderaan elektrik di Malaysia.
“Jumlah stesen pengecasan EV di seluruh negara adalah sebanyak 3,171 buah setakat ini,” katanya.
Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata demikian ketika penggulungan bagi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bagi Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025, di Dewan Rakyat pada Rabu.
Fadillah menambah selaras dengan fungsi kementerian, PETRA melalui Suruhanjaya Tenaga bertanggungjawab untuk mengawal selia aspek keselamatan pepasangan dan peralatan pengecas EV, bagi memastikan supaya keselamatan awam adalah sentiasa terjamin.
Justeru itu kata beliau kerajaan akur bahawa usaha untuk mencapai aspirasi peralihan tenaga bagi sektor bekalan elektrik terutamanya untuk meningkatkan campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) kepada 70 peratus menjelang tahun 2050 memerlukan gandingan usaha daripada pelbagai pihak.