KUALA LUMPUR, 7 Nov: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menegaskan bahawa beliau mahupun Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching tidak terlibat dalam proses pemilihan U Mobile Sdn Bhd sebagai penyedia rangkaian 5G kedua negara.
Beliau berkata pemilihan tersebut dilaksanakan melalui proses tender Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan bukannya secara penganugerahan terus.
“Pemilihan syarikat pelaksana rangkaian 5G kedua dibuat berdasarkan gabungan beberapa faktor seperti rancangan perniagaan dan teknikal yang dikemukakan, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan serta prestasi mereka dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain.
“MCMC juga telah meneliti dan memastikan isu pegangan saham iaitu tidak lebih daripada 49 peratus pegangan asing telah dipenuhi dan pihak U Mobile juga telah memaklumkan bahawa pegangan asing telah dikurangkan kepada 20 peratus,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkenaan sama ada pemilihan U Mobile mengambil kira faktor individu tertentu yang memiliki kepentingan saham dalam syarikat tersebut.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut memberitahu pegangan asing mahu pun tempatan tidak melanggar syarat-syarat bagi keputusan yang telah dibuat.
Pada 1 November lalu, MCMC mengumumkan pemilihan U Mobile sebagai penyedia perkhidmatan rangkaian 5G kedua dengan mereka dibenarkan untuk bekerjasama dengan rakan ekosistem lain tertakluk kepada kelulusan MCMC. – TVS