KUALA LUMPUR, 7 NOV: Projek Sabah Sarawak Link Road (SSLR) Fasa 2 yang melibatkan jajaran sepanjang 332 kilometer (km) dijangka bermula lima tahun mendatang, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Menurutnya Surat Setuju Terima (SST) bagi projek yang diluluskan pada 2023 itu telah dikeluarkan pada Mac lepas.
“Projek ini melibatkan empat pakej dan tiga sub pakej dengan jajaran sebanyak 332 km,” katanya.
Nanta berkata demikian dalam ucapan sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Nanta yang turut memperjelaskan kepada Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong yang membangkitkan perkembangan terkini projek SSLR sebelum ini.
Jelas Nanta, status kemas kini SSLR 2 terkini melibatkan kerja pengambilan balik tanah oleh Jabatan Tanah dan Survey Negeri Sarawak di lokasi terlibat.
“Selain itu kerja pembersihan tapak turut dilakukan oleh kontraktor di beberapa kawasan yang telah selesai urusan pengambilan tanah,” ujarnya.
Sehubungan itu, Nanta mendedahkan kementeriannya menghargai kerjasama dan sokongan rakyat Sabah terhadap perkembangan projek terbabit.
Untuk rekod, projek mega itu bakal menghubungkan beberapa bandar di Sarawak iaitu bandar Lawas ke bandar Limbang dan seterusnya ke pekan Mulu tanpa melalui Negara Brunei Darussalam.