KUALA LUMPUR, 7 NOV: Nisbah doktor kepada penduduk di Sabah meningkat daripada nisbah 1 doktor kepada 697 penduduk (1:697) kepada nisbah 1 doktor kepada 582 penduduk (1:582) hingga tahun 2030.
Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata unjuran lebih baik berkenaan disumbang perancangan fasiliti dan pemerkasaan perkhidmatan kesihatan.
Menurutnya antara strategi dan inisiatif yang dilaksanakan bagi merapatkan jurang nisbah doktor di negeri itu adalah dengan
memberi keutamaan kepada pegawai perubatan anak kelahiran Sabah untuk berkhidmat di Wilayah Sabah.
“Kementerian juga akan menempatkan lebih ramai pegawai perubatan, pegawai perubatan yang menamatkan pengajian kepakaran dan pakar perubatan tetap dan kontrak selain terus mengisi jawatan pegawai perubatan dan pakar perubatan yang masih kosong di Wilayah Sabah,” katanya.
Ahli Parlimen Sibuti itu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis di Dewan Rakyat hari ini.
Lukanisman yang soal berhubung strategi dan jangka masa merapatkan jurang nisbah doktor di Sabah itu mendedahkan pendekatan lebih inovatif dilaksanakan dengan menggabungkan perkhidmatan kepakaran dalam lingkungan fasiliti tertentu menerusi konsep hospital kluster dan melaksanakan konsep visiting specialist bagi Pakar Perubatan menyampaikan perkhidmatan kepakaran kepada penduduk di luar bandar.
“Insentif menarik turut diteruskan bagi mengekalkan petugas kesihatan khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman,” jelasnya.
Beliau memeberitahu antara insentif terlibat adalah kemudahan Bayaran Insentif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan, Tambang Ziarah Wilayah dan Bayaran Insentif Penempatan Pakar Perubatan dan Pakar Pergigian di Fasiliti Kesihatan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.