KUALA LUMPUR, 7 Nov: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pemasangan soket elektrik dalam bas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata langkah ini diambil susulan insiden renjatan yang meragut nyawa seorang remaja baru-baru ini.
“Untuk bas, ia tidak mempunyai piawaian bagi pemasangan soket elektrik dalam bas pada ketika ini.
“Bagi pesawat dan kereta api, soket elektrik dipasang mengikut piawaian yang telah ditetapkan. Namun bagi bas, ia bergantung kepada pembuat koc (coach builder) masing-masing.
“Jadi, kita akan lihat balik sop tersebut bersama suruhanjaya tenaga bagi memastikan penggunaan soket elektrik dalam bas perlu mempunyai satu piawaian standard,” katanya.
Beliau mengulas pertanyaan tambahan daripada Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abdul Wahab mengenai keselamatan soket elektrik di dalam pesawat.
Menjawab pertanyaan asal Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan mengenai punca sebenar kejadian seorang remaja yang maut selepas terkena renjatan elektrik ketika menggunakan soket dalam sebuah bas ekspres baru-baru ini, Loke berkata laporan lengkap mengenai insiden tersebut hanya akan diumumkan selepas siasatan lengkap dijalankan.
“Saya telah memberikan masa selama 14 hari kepada pasukan petugas khas untuk menyediakan perkara tersebut.
“Sementara itu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan satu larangan sementara penggunaan soket elektrik dalam bas ekspres sehingga siasatan insiden tersebut selesai dijalankan,” katanya.
Terdahulu pada Jumaat, seorang remaja maut dalam insiden renjatan ketika mengecas telefon bimbitnya menggunakan soket elektrik di dalam sebuah ekspres di Terminal Bas Penang Sentral, Butterworth. – TVS