KUALA LUMPUR, 7 Nov: Kementerian Kerja Raya (KKR) menganggarkan kos sebenar penyelenggaraan Jalan Persekutuan bernilai sekitar RM5.5 bilion setiap tahun.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata meskipun KKR menerima peruntukan pembangunan terbesar berjumlah RM9.32 bilion dalam Belanjawan 2025, kementerian tersebut hanya dapat memperuntukkan 53 peratus daripada jumlah itu bagi tujuan berkenaan.
“Walaupun peruntukan signifikan, jumlah ini tidak dapat menampung sepenuhnya keperluan sebenar kos penyelenggaraan Jalan-jalan Persekutuan di seluruh negara
“Sekiranya diberi jumlah sepenuhnya, maka ia akan menjejaskan kesinambungan keperluan sektor-sektor lain.
“Justeru, KKR akan memastikan peruntukan tersebut digunakan seoptimumnya,” katanya dalam sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Jelasnya, peruntukan pembanguan itu akan dimanfaatkan bagi tujuan penyelenggaraan dan baik pulih infrastruktur meliputi jalan raya, jambatan dan kawasan cerun yang kritikal dari aspek keselamatan.
Beliau menambah, sekiranya wujud keperluan yang kritikal, KKR akan mengemukakan permohonan tambahan untuk pertimbangan agensi pusat.
Terdahulu Belanjawan 2025 memperuntukkan KKR menerima sejumlah RM10.350 bilion.
Kata Ahli Parlimen Kapit itu, ia merupakan peningkatan sebanyak sembilan peratus berbanding tahun sebelumnya. -TVS