KUALA LUMPUR, 7 NOV: Sebanyak 11,757 daripada 20,042 pelbagai aduan yang dilaporkan menerusi aplikasi MYJalan diselesaikan setakat 30 September lepas, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Menurutnya rekod kejayaan itu dicatat menerusi 6,019 aduan melibatkan Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri manakala 5,738 bersamaan 95.33 peratus daripada aduan di bawah bidang kuasa yang diterima dan baki sebanyak 281 atau 4.67 peratus masih di dalam tindakan.
“MyJalan ini akan terus diberikan suntikan penambahbaikan dari semasa ke semasa demi kesejahteraan rakyat.
KKR (Kementerian Kerja Raya) juga mengharapkan sokongan dan komitmen penuh dari semua agensi serta pihak berwajib di pelbagai peringkat yang terlibat dengan pengurusan penyenggaraan fasiliti jalan raya untuk sama sama kita bertindak untuk menyelesaikan segala aduan dan laporan yang diterima,” katanya.
Nanta berkata demikian bagi menjawab petanyaan lisan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berhubung kaedah kementeriannya menyelaraskan status aduan daripada agensi lain di bawah aplikasi MyJalan di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Nanta berkata pengguna jalan raya masih boleh melaporkan aduan terus kepada pemilik jalan seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kerajaan negeri masing-masing.
Sebelum ini kata Nanta, KKR telah melaksanakan permohonan pelaksanaan integrasi antara aplikasi MYJalan dan i-Tegur di bawah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) pada 15 Julai dan 19 Julai 2024.
“Satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan antara KKR dan JKT bagi membincangkan keperluan integrasi penyelarasan aduan yang diterima bagi jalan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“KKR dan JKT bersetuju supaya integrasi aduan melalui aplikasi MYJalan dilaksanakan secara terus kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JKT atau PBT seperti sedia ada bagi memudahkan pemantauan tindakan terhadap aduan yang diberikan sekali gus pengadu mendapat status tindakan terhadap aduan yang diberikan secara automatik,” jelasnya.