KUALA LUMPUR, 7 NOV: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dijangka mengadakan prosiding berhubung kerugian pelaburan oleh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) terhadap Fashionvalet pada Disember depan.
Pengerusi PAC Parlimen, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata pihak Khazanah dan PNB akan dipanggil berhubung kerugian pelaburan dana awam berjumlah RM43.9 juta oleh perniagaan fesyen dalam talian tempatan itu.
“Prosiding dijangka akan diadakan pada minggu kedua Disember 2024,” katanya pada sidang media sejurus jawatankuasa membentangkan Laporan PAC berhubung Majlis Profesor Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri di Parlimen hari ini.
Seterusnya, Mas Ermieyati mendedahkan sebanyak empat prosiding telah diadakan dengan seramai 12 saksi telah dipanggil berhubung pengurusan Program Penanaman Padi.
“Pada minggu hadapan, PAC akan mendengar keterangan dan penjelasan daripada 14 saksi yang terdiri daripada pesawah, pengeluar benih padi sah, pengilang beras dan ahli akademik,” ujarnya.
Jelasnya PAC bimbang isu dan kemelut melanda NAFAS ini akan membawa kepada masalah lebih besar iaitu kekurangan baja kepada pesawah.
“Prosiding untuk NAFAS juga akan ditetapkan pada minggu kedua Disember 2024,” katanya sambil mendedahkan PAC pernah memanggil CEO NAFAS untuk memberi penjelasan dan keterangan pada 26 Mac 2024 serta melawat kilang NAFAS di Gurun, Kedah pada 22 April 2024.