ABU DHABI, 7 Nov: Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Mubadala Energy, sebuah syarikat tenaga global yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan kerjasama strategik dalam bidang pemuliharaan alam sekitar.
Ia melibatkan tumpuan kepada perlindungan hutan dan habitat di Sarawak menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak di Abu Dhabi pada Rabu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika ditemui berkata, inisiatif tersebut bertujuan memastikan pembangunan sektor tenaga tidak memberi kesan negatif kepada ekosistem dan biodiversiti khususnya hidupan liar di negeri ini.
“Kolaborasi di antara SFC dan Mubadala Enegery dalam bidang pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar, apa yang kita buat adalah mencari titik fokus sambil kita membangunkan sektor tenaga dan ia tidak membahayakan alam sekitar kita terutama hidupan liar.
“Ini termasuk pemuliharaan hutan dan berdasarkan asas tersebut, terdapat pertukaran pandangan antara pengeluar tenaga, termasuk SFC untuk melindungi hutan kita dan juga habitat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temubual khas TVS dan UKAS selepas menghadiri Pameran dan Persidangan Antarabangsa Petroleum Abu Dhabi (ADIPEC) 2024 di Pusat Pameran Nasional Abu Dhabi (ADNEC) di sini pada Rabu.
Beliau menambah, kerjasama tersebut adalah langkah penting untuk mengintegrasikan aspek pemuliharaan dengan pembangunan tenaga yang mampan.
Terdahulu beliau menyaksikan majlis MoU yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Abang Arabi Abang Aimran dan Naib Presiden Eksekutif Teknikal dan Penyahkarbon Mubadala Energy, Khalfan Al Mansoori.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki,Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni. -TVS