KUCHING, 7 Nov: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) menjangka kutipan zakat pada tahun ini meningkat kepada RM145 juta berbanding RM141 juta pada 2023.
Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata peningkatan itu menunjukkan komitmen yang semakin menggalakkan daripada umat Islam.
“Peningkatan ini sangat menggalakkan dan kami berharap kesedaran umat Islam untuk terus membayar zakat kepada Tabung Baitulmal akan semakin bertambah,” katanya.
Menurutnya lagi, lebih 57 peratus pembayar zakat menggunakan potongan gaji yang secara signifikan membantu meningkatkan kutipan zakat.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Agihan Bantuan kepada para asnaf di Galeri Ummah Distribution Centre (UDC), Medan Hamidah di sini, hari ini.
Pada majlis itu, TBS turut mengagihkan bantuan berjumlah RM44,945 kepada 28 orang asnaf melalui dua program utama iaitu Program Mengukuhkan Tradisi Keilmuan dan Program Memantapkan Kebajikan Ummah.
“Sehingga September tahun ini, TBS berjaya mengagihkan sebanyak RM106 juta melalui empat program utama yang merangkumi pendidikan, perubatan, kebajikan dan pembangunan institusi Islam,” katanya.
Dalam pada itu, TBS turut menerima zakat perniagaan daripada FGV Holdings Berhad (FGV) sebanyak RM218,252.
Penyerahan zakat perniagaan itu disempurnakan Pegawai Agama FGV Mohd Farid Baharudin kepada Abang Mohd Shibli bagi tahun berakhir 31 Disember 2023.
Beliau juga memuji amalan mulia syarikat korporat tersebut yang mengambil berat tentang pematuhan peruntukan syariah ini.