LOS ANGELES, 7 Nov: Kebakaran yang merebak dengan pantas, didorong oleh angin Santa Ana memaksa ribuan penduduk berpindah dari kediaman mereka di California Selatan, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Jabatan bomba di Ventura County mengklasifikasikan kebakaran sebagai “sangat berbahaya.”
Penduduk diminta mematuhi arahan pemindahan, kata Sheriff Jim Fryhoff dalam sidang media pada petang Rabu.
Dalam tempoh beberapa jam sahaja, kebakaran yang dikenali sebagai “Mountain Fire” berhampiran bandar Camarillo telah merebak ke kawasan seluas lebih 40 kilometer persegi.
Pihak berkuasa memberi amaran tentang angin kuat Santa Ana, yang lazimnya berlaku pada musim luruh dan musim sejuk yang mampu meningkatkan risiko kebakaran ekstrem.
Selain itu, musim panas yang berlanjutan dan tumbuhan kering yang mudah terbakar turut menjadi faktor penyumbang.
Gabenor California Gavin Newsom meminta bantuan kecemasan daripada Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) untuk membantu memadam kebakaran.
Menurut kenyataan, lebih 3,500 rumah dan perniagaan berisiko terjejas, manakala tahap kerosakan masih belum diketahui.
Dua penduduk telah dibawa ke hospital kerana kemungkinan terhidu asap.
Asap tebal menyelubungi kawasan berkenaan dengan imej menunjukkan kereta yang hangus dan rumah terbakar. – TVS