DARO, 7 Nov: Jambatan Muara Lassa yang menghubungkan Daro dengan Pulau Bruit bakal dibuka untuk kegunaan orang ramai pada Januari tahun hadapan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Aidel Lariwoo berkata, projek pembinaan jambatan itu menunjukkan kemajuan yang sangat baik dan hampir siap mendahului jadual.
“Ia berjaya disiapkan hampir mendahului jadual dengan progres kini sekitar 96 peratus dan dijangka siap pada Januari tahun hadapan iaitu tinggal dua bulan lagi untuk siap sepenuhnya,
“Ia akan dibuka kepada orang awam dan juga menandakan berakhirnya perkhidmatan feri di kawasan ini selepas ia dibuka secara rasminya nanti pada Januari 2025,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perletakan Bongkah Terakhir Jambatan Muara Lassa di sini, hari ini.
Tambahnya, jambatan tersebut mula dilaksanakan pada tahun 2019, namun projek tersebut tertunda disebabkan pandemik COVID-19.
Aidel turut memuji kaedah pembinaan ‘river pier’ yang digunakan untuk membina jambatan tersebut yang membolehkan pembinaannya berjalan lancar tanpa kelewatan.
Katanya lagi kaedah itu turut digunakan untuk membina sebanyak 16 jambatan besar termasuk di jalan pesisir dan jalan utama kedua di Sarawak.
“Kesemua jambatan dari Limbang hingga Kuching yang dilaksanakan berjalan dengan lancar dan dijangka siap pada akhir tahun hadapan atau awal tahun 2026.
“Dengan menggunakan teknik dan kaedah tersebut, pembinaan berjalan dengan lancar dan tidak berlaku kelewatan dengan ketara,” jelasnya.
Jambatan Muara Lassa merupakan antara tiga projek jambatan dibina oleh kerajaan Sarawak di kawasan pesisir selain Jambatan Batang Paloh, Jambatan Batang Igan dan Jambatan Batang Lupar.
Projek sepanjang 2.43 kilometer ini merupakan jambatan kedua terpanjang di Sarawak selepas Jambatan Batang Lupar dan melibatkan kos sebanyak RM597.58 juta.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad. – TVS