RANAU, 7 Nov: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau menerima laporan kes jenayah penipuan komersial melibatkan kerugian bernilai RM1.6 juta sepanjang tahun ini.
Ketua Polis Daerah Ranau, Pemangku Superintendan Mursalin Mahmud berkata, jenayah penipuan komersil merupakan masalah yang amat dibimbangi oleh semua pihak ketika ini.
Katanya, statistik daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Ranau juga menunjukkan peningkatan kertas siasatan saban tahun bagi tempoh 2015 hingga 2024.
“Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah ini dengan melibatkan ramai pihak dan jumlah kerugian yang besar.
“Berdasarkan statistik, kebanyakan mangsa yang mengalami kerugian datang dari pelbagai jenis latar belakang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mursalin berkata, mereka yang terdiri daripada kalangan berpendidikan tinggi juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa penipuan.
Sehubungan itu, Mursalin berkata, masyarakat dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan teknik-teknik yang sering digunakan oleh ‘scammer’.
Katanya, masyarakat diingatkan supaya tidak melayan sebarang panggilan yang meragukan atau dari nombor telefon yang tidak dikenali.
“Jangan takut atau cemas jika anda dihubungi dan dimaklumkan bahawa anda terbabit dengan jenayah, pengubahan wang haram, dadah dan sebagainya.
“Paling penting jangan dedahkan maklumat perbankAN atau kewangan anda kepada mana-mana individu. Ingat bahawa penguatkuasa tidak menjalankan siasatan melalui telefon bimbit,” katanya.
Sementara itu, Mursalin berkata, orang ramai boleh melakukan semakan menerusi SEMAKMULE-PDRM bagi sebarang transaksi bayaran yang tidak pasti.
“Rujuk Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Ranau jika terlibat sebarang transaksi yang tidak pasti,” katanya. – TVS