MANILA, 7 Nov: Kerajaan Filipina memulakan rundingan dengan negara-negara Asia Tenggara berhubung Laut China Selatan untuk mempercepatkan kemajuan dalam rundingan kod tatakelakuan (COC) di perairan yang dipertikaikan, lapor Agensi Berita Filipina, memetik kenyataan Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) pada Khamis.
Bercakap pada Dialog Manila mengenai Laut China Selatan yang dianjurkan oleh Pacific Forum, Penolong Setiausaha DFA Marshall Louis Alferez menekankan keperluan untuk mempercepatkan rundingan bagi menghasilkan COC yang berkesan.
“Filipina percaya penambahbaikan koordinasi dalam kalangan negara ASEAN yang membuat tuntutan adalah penting jika kita ingin membuat kemajuan substantif dalam hal ini. Oleh itu, Filipina telah memulakan dan akan terus mengadakan mesyuarat koordinasi tidak rasmi dengan negara anggota ASEAN lain yang membuat tuntutan serta mengadakan perbincangan secara dua hala dengan mereka,” katanya.
Rundingan untuk menghasilkan COC berlangsung sejak 2018 setelah kerangkanya diterima dan disokong oleh pemimpin China dan negara anggota ASEAN.
Namun, kemajuan terhenti semasa pandemik apabila krisis kesihatan itu menyebabkan mesyuarat bersemuka hampir mustahil diadakan.
Dalam Sidang Kemuncak ASEAN bulan lepas, Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. mendedahkan bahawa sehingga kini, pihak-pihak terlibat masih belum bersetuju mengenai definisi konsep asas seperti “menahan diri.”
“Walaupun terdapat perbezaan dalam kedudukan dan penjajaran dalam kalangan negara anggota ASEAN, kami terus berharap ASEAN akan menunjukkan pendirian yang bersatu dan lebih kuat dalam isu ini,” kata Alferez.
“Walaupun rundingan COC perlu ditambah baik, kami tetap yakin ASEAN terus berperanan sebagai ejen keamanan dan keselamatan di rantau ini,” tambahnya.
COC ini dilihat sebagai set peraturan yang dipersetujui untuk menguruskan insiden dan mengelakkan pertikaian daripada berubah menjadi konfrontasi bersenjata di Laut China Selatan.
Alferez berkata, COC yang dipersetujui perlu sepenuhnya berlandaskan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan mesti “secara berkesan mengawal tingkah laku pihak-pihak di laut.”
Menurutnya, COC juga perlu memastikan “negara pengguna pihak ketiga,” atau negara bukan pihak, terus menikmati hak dan kebebasan mereka di Laut China Selatan. -TVS