MATU, 7 Nov: Dua projek berimpak tinggi yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak dijangka mampu memacu pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat dalam jangka masa panjang.
Projek tersebut melibatkan pembinaan Pusat Perkhidmatan Igan dan Pusat Perkhidmat Matu yang dilihat sebagai penggerak ekonomi rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, kedua-dua projek diluluskan Majlis Perancangan Negeri (MPN) pada tahun 2021.
“Sehubungan itu, kerajaan melantik Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) sebagai agensi pelaksana untuk melaksanakan projek pembangunan pekan baharu dan pusat perkhidmatan dalam usaha merancakkan pembangunan sosioekonomi di kawasan Igan dan Matu, ” katanya.
Terdahulu beliau menghadiri majlis kesyukuran bagi cadangan projek pembangunan pusat perkhidmatan Igan dan lawatan tapak ke projek pembangunan pusat perkhidmatan Matu hari ini.
Menurut Juanda, kedua-dua projek dilaksanakan di bawah Projek Rakyat dengan pembangunan melibatkan kemudahan komersial dan penyediaan infrastruktur asas.
Pusat Perkhidmatan Igan katanya meliputi kawasan seluas 6.80 ekar selain dilengkapi stesen minyak, pasar tamu, medan selera dan kedai mini dua tingkat.
“Kita juga tidak lupa menyediakan kelengkapan asas lain seperti jalan raya, saluran perparitan dan tempat letak kenderaan, ” ujarnya.
Sementara itu, Juanda berkata, kerja-kerja penyediaan tanah untuk Pusat Perkhidmatan Igan mengambil masa enam bulan bermula pada 1 Oktober 2024 dan dijangka siap menjelang bulan Mac tahun depan.
Menyentuh mengenai Pusat Perkhidmatan Matu pula, beliau berkata, projek merangkumi kawasan seluas 17.97 ekari, 13 unit rumah kedai dua tingkat, 24 unit kedai untuk industri kotej, medan selera dan tamu satu tingkat tingkat.
“Kelengkapan asas lain seperti jalan raya, saluran perparitan dan tempat letak kenderaan yang dijadualkan siap pada hujung bulan Januari 2025, ” jelasnya. -TVS