ABU DHABI, 7 Nov: Penyertaan Sarawak dalam persidangan terbesar tenaga di dunia membuktikan pemain global sudah mengenali peranan dan usaha wilayah ini dalam pembangunan tenaga baharu yang lestari.
Mengakui perkara itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia merupakan pengiktirafan kepada Sarawak dan Malaysia apabila dijemput menjadi panel perbincangan mengenai hala tuju hidrogen.
“Walaupun pertama kali Sarawak menyertai ADIPEC, pameran dan persidangan terbesar di dunia, ini bermakna pengiktirtafan di peringkat global mengenai apa yang dimainkan oleh Sarawak,” katanya.
Mengulas lanjut, kata Abang Johari, pemain industri utama seperti Jepun dan Korea Selatan kini melihat melihat Sarawak sebagai rakan kongsi dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui.
“Kalau ini berlaku dalam dunia, satu-satunya persidangan terbesar di dunia, anda boleh melihat syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dan personaliti yang menyumbang kepada perbincangan itu.
“Saya rasa Sarawak sekarang telah dikenali, sebagai satu daripada pemain industri yang penting dalam pembangunan tenaga di seluruh dunia,” ujarnya.
Untuk rekod, Pameran dan Persidangan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC) 2024 di Pusat ADNEC kini berkembang menjadi platform teknologi tenaga utama bukan lagi tertumpu pada sektor minyak dan gas.
Persidangan tersebut menyaksikan lebih banyak penyertaan pemain industri kecerdasan buatan (AI) dengan kira-kira 2,500 syarikat pempamer dan lebih 200,000 pengunjung dari seluruh dunia. -TVS