BAU, 6 Nov: Sebuah van yang membawa enam pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan ( SMK) Lake jatuh cerun dan terbalik selepas kemalangan kendiri di Jalan Kampung Pangkalan Tebang di sini, pagi tadi.
Komander Operasi, Tawang Linggem berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 7.51 pagi dengan menggerakkan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau ke lokasi kejadian.
“Sebuah van kemalangan kendiri jatuh cerun di tepi jalan dan terbalik, van tersebut membawa enam pelajar yang terdiri daripada tiga pelajar lelaki dan tiga pelajar perempuan SMK Lake.
“Kesemua mangsa berjaya keluar dari kenderaan dengan bantuan orang awam dan telah dibawa ke Hospital Bau dan Klinik Kesihatan Krokong Bau oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba tidak melakukan operasi penyelamatan dalam kejadian itu, setelah selesai membuat pemantuan dan memastikan keadaan di lokasi selamat pihak bomba bertolak balik ke balai. -TVS