MIRI, 6 Nov: Tenaga kerja berkemahiran amat diperlukan bagi memangkin matlamat kerajaan Sarawak membangunkan ekonomi baharu sejajar dengan hasrat muncul sebagai negeri berpendapatan tinggi.
Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 bertujuan menjana 500,000 tenaga kerja berkemahiran dengan pendapatan isi rumah median RM15,049 menjelang 2030.
Menurutnya, Sarawak turut merancang agar 60 peratus tenaga kerjanya memiliki asas sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM), sementara 30 peratus pula berkemahiran tinggi dengan penyumbangan signifikan daripada graduan TVET.
“Ekonomi Sarawak didorong terutamanya oleh sektor minyak dan gas. Rangka kerja kami untuk pekerjaan dan pembangunan bakat menumpukan pada memupuk bakat tempatan kami untuk berkhidmat dalam industri ini.
“Adalah jelas bahawa TVET menyediakan prospek kerjaya yang cemerlang, dengan graduan menikmati gaji yang kompetitif dalam sektor minyak dan gas. Kita harus menggalakkan lebih ramai pelajar untuk mempertimbangkan pendidikan teknikal dan vokasional sebagai laluan ke arah kejayaan,” katanya pada majlis perasmian Discover PETRONAS @Schools di sini, hari ini.
Teks ucapannya dibaca oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat II (Pembangunan Bakat), Datuk Francis Harden Hollis.
Mengenai program anjuran PETRONAS itu, seramai 180 pelajar dan guru dari 16 sekolah menengah di Miri didedahkan dengan pelbagai peluang kerjaya dalam sektor minyak, gas dan tenaga serta inisiatif penajaan pendidikan daripada PETRONAS.
Program ini mengetengahkan komitmen PETRONAS dalam menyokong inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kerajaan, menyediakan peluang kepada pelajar untuk meneroka pelbagai laluan pendidikan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan kerjasama institusi TVET terpilh di Sarawak.
Program DPS-TVET ini turut mendapat sokongan daripada rakan industri strategik seperti Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), Akademi Laut Malaysia (ALAM), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, dan Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS), yang menyediakan pameran dan taklimat mengenai peluang kerjaya dalam sektor ini. – TVS