KUCHING, 6 Nov: Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor Sdn Bhd dan Curtin University Malaysia hari ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang menekankan komitmen teguh SMD untuk memupuk kerjasama antara industri dan akademik dalam usaha memajukan sektor semikonduktor di Sarawak.
Perjanjian tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil dan Naib Presiden Pembangunan Teknologi, Chia Chieu Yin dengan Curtin University Malaysia diwakili Pemangku Pro-Naib Canselor dan Ketua Eksekutif, Profesor Vincent Lee Chieng Chen serta Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Sains, Profesor Tuong-Thuy Vu.
Shariman berkata, inisiatif utama kepentingan perkongsian termasuk penubuhan Makmal Penyelidikan dan Inovasi IC, pembangunan bersama program penyelidikan pascasiswazah dan memupuk pertukaran pengetahuan.
“Perjanjian ini juga menggalakkan pertumbuhan bakat melalui program pertukaran, perkhidmatan perundingan dan peluang kerjaya untuk graduan dalam SMD Semiconductor.
“Kerjasama strategik ini bertujuan untuk memperkukuh sinergi antara industri dan akademik, menyokong kesiapsiagaan tenaga kerja dan memacu inovasi sekaligus menetapkan penanda aras baharu untuk sektor semikonduktor Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan SMD hari ini.
Majlis menandatangani MoU berkenaan disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada Simposium Penyelidikan dan Pembangunan (SRDC) 2024 – Research That Matters 2.0, di Hotel Imperial, Kuching.
Simposium SRDC 2024 yang berlangsung dari 5 hingga 7 November ini menawarkan platform berharga untuk kerjasama dan perkongsian ilmu di kalangan pakar industri dan pemimpin akademik. – TVS