KUALA LUMPUR, 6 Nov: Tempoh pemprosesan sijil Halal oleh pihak JAKIM telah berjaya dipendekkan kepada hanya 30 hari.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata proses ini telah dipercepatkan daripada tempoh beberapa bulan sebelum ini.
“Pihak JAKIM telah berjaya mempercepatkan pensijilan Halal daripada tempoh beberapa bulan kepada 30 hari.
“Perkara ini akan diusahakan lagi dari semasa ke semasa,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari yang ingin tahu purata tempoh masa pemprosesan sijil Halal oleh JAKIM.
Dalam masa sama, Dr Zulkifli juga mendedahkan terdapat trend peningkatan dalam jumlah permohonan dan kelulusan sijil Halal.
“Dalam aspek ini, terdapat beberapa inisiatif yang dilaksanakan oleh JAKIM termasuk penambahan Juruaudit Halal selain pembangunan sistem My e-Halal 2.0 bagi mempercepatkan lagi proses ini,” jelasnya.
Selain itu, beliau berkata JAKIM juga akan melaksanakan pemantauan secara berterusan bagi meningkatkan keyakinan pengguna. -TVS