KUALA LUMPUR, 6 Nov: Penyertaan Malaysia dalam organisasi antarabangsa seperti BRICS tidak akan menjejaskan kedaulatan institusi demokratik negara.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata kementerian tersebut akan sentiasa memastikan kepentingan negara terjaga dan terpelihara.
“Sebagai sebuah organisasi yang berlandaskan pembangunan dan kerjasama ekonomi, BRICS mengamalkan dasar tidak
mempengaruhi dan mencampuri hal-hal dalaman Negara-negara
Anggota BRICS.
“Negara-negara BRICS mengutamakan prinsip saling menghormati, kesaksamaan dan keterangkuman dalam proses kerja dan segala keputusan dibuat berdasarkan konsensus,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Klang Ganabatirau Veraman berkenaan langkah kerajaan memastikan BRICS tidak masuk campur dalam urusan politik negara di Dewan Rakyat, hari ini.
Ujarnya, BRICS ditubuhkan berdasarkan prinsip muafakat dan memberi penekanan terhadap kedaulatan dan integriti teritorial Negara-negara Anggota.
Tambah beliau lagi, penyertaan Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS adalah selari dengan usaha memacu ekonomi negara dengan lebih pesat.
Katanya, ia berupaya untuk membuka peluang pasaran baharu untuk perdagangan negara dan seterusnya dapat meningkatkan perdagangan dan pelaburan langsung asing (FDI), dengan negara-negara anggota BRICS. -TVS