KUALA LUMPUR, 6 Nov: Pemegang Kad Diskaun Khas Menu Rahmah kini dibenarkan untuk membeli barangan keperluan di Jualan Rahmah.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata kelonggaran ini diberikan bagi membolehkan pengusaha makanan menawarkan pakej Menu Rahmah.
“Sebelum ni, Jualan Rahmah tidak dibenarkan untuk membekalkan barangan kepada peniaga.
“Namun melalui kad diskaun ini, mereka diberi kelonggaran untuk membeli barangan keperluan di Jualan Rahmah,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan tambahan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa yang ingin tahu status terkini mengenai status Menu Rahmah pada sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata kebenaran ini susulan isu teknikal yang menyebabkan kad diskaun terbabit tidak dapat digunakan di pasaraya terpilih berikutan sistem yang digunakan berbeza.
Diperkenalkan pada November tahun lepas, Kad Diskaun Khas Menu Rahmah menawarkan diskaun sehingga 40 peratus kepada pengusaha Menu Rahmah untuk pembelian barangan keperluan perniagaan. – TVS