KUALA LUMPUR, 6 NOV: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) giat melakukan konservasi harimau malaya selama 10 tahun sehingga 2030 dalam usaha pemuliharaan hidupan liar berkenaan.
Timbalan menterinya, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata tindakan strategik konservasi terbabit dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
“Pendekatan konservasi bertujuan menghentikan penurunan populasi harimau malaya melalui rondaan penguatkuasaan dan pengawalan (boots on the ground) melalui Program Perlindungan Biodiversiti dan Rondaan (BP3) serta pemeliharaan dan pemuliharaan habitat hidupan liar itu,” katanya.
Tiong Sii berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid di Dewan Rakyat di sini, pada hari ini.
Ahli Parlimen Sarikei itu juga mendedahkan tindakan konservasi juga merangkumi penubuhan Unit Konservasi Harimau Malaya di bawah Jabatan PERHILITAN, penubuhan Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, bagi menangani konflik harimau dan manusia kata Tiong Sii masyarakat diminta menghubungi segera pejabat Jabatan PERHILITAN terdekat atau talian hotline Jabatan PERHILITAN 1-800-88-515 selain talian kecemasan umum Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melaporkan kejadian konflik hidupan liar untuk tindakan selanjutnya.
“Saya juga ingatkan agar orang ramai harus mengelakkan apa jua bentuk provokasi atau tindakan seperti cubaan menghalau dan mendekati hidupan liar, membaling objek-objek, menembak atau membunuh harimau malaya,” ujarnya.
Tambahnya bagi mengelakkan situasi panik dan bergerak secara perlahan-lahan untuk menjauhkan diri daripada hidupan liar itu serta berlindung di kediaman or tempat selamat sementara menunggu kehadiran pihak berkuasa.