KUALA LUMPUR, 6 NOV: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menambah baik gerak kerja bagi menangani isu ajaran sesat di negara ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata sistem pelaporan berpusat akan dibangunkan segera bagi membolehkan mana-mana pihak melaporkan kes seumpama GISBH secara terus kepada pihak berkuasa dengan tindak balas segera.
“Siasatan mendapati terdapat kes berkaitan ekploitasi kanak-kanak dan wanita yang didedahkan baru-baru ini menimbulkan keperluan untuk penambahbaikan segera dalam prosedur operasi standard (SOP) pelaporan kes berkaitan,” katanya.
Dr. Zulkifli berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman di Dewan Rakyat hari ini berkaitan inisiatif pengukuhan SOP pelaporan bagi kes ajaran sesat.
Pada masa sama, katanya Jawatankuasa Pemandu Ajaran Sesat (JAPAS) giat memperkasakan penyelarasan penguatkuasaan bagi menangani isu berkaitan ajaran sesat di negara ini.
“JAKIM akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dan juga agensi berkaitan bagi membendung isu seumpama kes GISBH,” ujarnya.
Di samping itu, kata Dr. Zulkifli petugas barisan hadapan perlu diberi latihan khas untuk mengenali tanda-tanda eksploitasi.
“Kerjasama sedia ada antara agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa agama negeri-negeri juga perlu dipertingkatkan untuk tindakan yang lebih pantas,” jelasnya.