KUALA LUMPUR, 6 Nov: Satu sistem pelaporan berpusat akan dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi membolehkan orang awam untuk melaporkan kes eksploitasi kanak-kanak dan wanita membabitkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hassan berkata sistem berkenaan akan memudahkan urusan melaporkan kes kepada pihak berkuasa.
“JAKIM menyedari terdapat keperluan membuat penambahbaikan dalam gerak kerja menangani isu GISBH dan isu ajaran sesat di negara ini.
“Bagi kes GISBH, siasatan mendapati wujud kes eksploitasi kanak-kanak dan wanita yang menimbulkan keperluan untuk penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) pelaporan seumpama ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman mengenai kes GISBH dan langkah kementerian untuk mengambil tindakan segera.
Tambahnya, sistem itu juga akan dilaksanakan secara strategik antara JAKIM dengan Jabatan Agama Islam Negeri.
Sehubungan itu juga, petugas barisan hadapan akan diberi latihan khas bagi mengenali tanda-tanda eksploitasi, selain meningkatkan kerjasama antara agensi. – TVS