KOTA KINABALU, 6 Nov: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Christina Liew telah bertemu dengan rakan sejawatnya dari Sarawak, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di World Travel Market 2024 yang diadakan di ExCel London pada Selasa.
Menurut Christina, semasa pertemuan itu, kedua-dua menteri sempat membincangkan semakan terhadap program Sabah-Malaysia My Second Home (Sabah-MM2H) dan Sarawak-Malaysia My Second Home (S-MM2H) di negeri masing-masing.
Perbincangan tersebut melibatkan keperluan baharu dan garis panduan bagi permohonan lesen untuk ejen di Sabah dan Sarawak.
Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak masing-masing telah menubuhkan bahagian khusus bagi memproses permohonan, melesenkan serta tujuan penguatkuasaan.
Turut serta dalam pertemuan ini ialah Penolong Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai, dan Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit. -TVS