SHAH ALAM, 6 Nov: Kementerian Pertahanan mengesahkan telah menyerahkan notis pembatalan kontrak kepada syarikat pembekal helikopter Black Hawk kepada kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu diambil selepas tempoh kontrak penyerahan tamat pada hujung Oktober lepas.
“Oktober sudah pun berakhir, maka ia sudah berakhir. Tiada apa-apa, notis pembatalan telah pun dihantar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama Malbatt 850-12 di sini, hari ini.
Sebelum ini,Syarikat Aerotree Defence and Services Sdn Bhd menandatangani kontrak pada Mei tahun lalu untuk memajak empat helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk kepada kor udara tentera.
Di bawah perjanjian bernilai RM187 juta itu, helikopter pertama sepatutnya dihantar pada November tahun lalu, tetapi tarikh akhir itu ditolak kepada April tahun ini. – TVS